Sepang, 14 Oktober 2022 – Kenderaan serba hitam yang tertera logo Unit Tindakhas (UTK), Polis Diraja Malaysa (PDRM) dilihat berlegar-legar di Hangar 5, Kompleks Kejuruteraan & Penyelenggaraan Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Suasana yang tadinya tenang bertukar tegang apabila operatif daripada UTK PDRM bertindak tangkas menggempur masuk ke dalam pesawat MH 2612 milik Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk membebaskan seramai 31 orang yang telah dijadikan 'tebusan' oleh 'pengganas'.
Biarpun operasi membebaskan tebusan ini merupakan simulasi kepada Latihamal Serbuan Kapal Terbang (Ex-Rampas) UTK 1/2022, ia juga mungkin menjadi senario sebenar sekiranya berlaku apabila sebuah pesawat dirampas oleh pengganas.
Menurut Komander UTK, SAC Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, objektif eksesais tersebut adalah untuk mempraktikkan rancangan atau arahan agar Pasukan bersedia untuk diatur gerak dalam setiap operasi.
Selain itu, Latihamal ini turut berkolaborasi bersama Unit Drone, Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi mengaplikasikan teknologi terkini dalam melaksanakan operasi. Turut terlibat ialah Bahagian Kejuruteraan
Malaysia Airlines dan Malaysia Airport Holding Berhad (Aviation Security) serta Civil Aviation Authority of Malaysia.
Turut hadir, Ketua
Polis Selangor, CP Dato' Arjunaidi Mohamed, Timbalan Pengarah
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan) Bukit Aman, CP Dato' Khaw Kok Chin, Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, DCP Dato' Muhammad Abdul Halim, Komander PGU, DCP Dato' Mohd Hishamudin Tahar dan wakil dari MAB.
Jurugambar: Inspektor Amir Safwan Abdul Radzi, Inspektor Afiq Nashriq Mohamed Yusof dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.