Kuala Lumpur, 17 Oktober 2022 - Polis Kuala Lumpur menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis Syabu dan pil Erimin 5 berjumlah lebih RM10 juta dalam serbuan di sebuah inap desa dan kondominium di Kajang.
Polis mulanya menahan dua lelaki tempatan berusia 37 dan 39 tahun di Desa Sri Hartamas dan Bandar Damai Perdana, Kajang, Selangor, dalam 'Operasi Leslie' pada 13 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato' Azmi Abu Kassim berkata, hasil soal siasat ke atas dua lelaki terbabit, polis menyerbu sebuah kondominium di Taman Desa, pada 11 Oktober lalu di mana dadah Syabu bernilai RM1.3 juta dirampas.
"Susulan tangkapan dua lelaki pada 13 Oktober itu kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah unit kediaman inap desa di Bandar Damai Perdana membabitkan 206 bungkusan teh Cina mengandungi dadah jenis Syabu seberat 213 kilogram (kg) dan 112,000 pil Erimin 5 seberat 33kg," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.