Cheras, 26 Oktober 2022 - Penyiasatan bagi sesebuah kes jenayah tidak boleh dilakukan dengan mendapatkan kenyataan daripada suspek, mangsa ataupun saksi semata-mata. Adalah penting elemen seperti sampel darah, cebisan kulit, tanah atau apa sahaja bukti yang diperolehi di tempat kejadian, dijadikan kajian forensik untuk mendapatkan jawapan sebenar kepada kes yang disiasat.
Bertempat di Dewan
Sultan Haji Ahmad Shah,
Maktab PDRM KL, di sini, telah berlangsung 3rd National Forensic Science Symposium for Law Enforcement (NAFSLE) 2022 yang menghimpunkan lebih 500 peserta secara bersemuka dan dalam talian.
Dalam ucapan perasmian NAFSLE 2022 tadi, Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri
Hamzah Zainudin berkata, penganjuran simposium tersebut merupakan platform terbaik dalam meningkatkan kemahiran para pegawai dalam penyiasatan kes-kes jenayah melalui sains forensik.
"Setiap elemen saintifik dan teknologi yang diaplikasikan dalam penyiasatan kes-kes jenayah, bukan sahaja dapat membantu membuktikan pelakuan jenayah seseorang, tetapi juga mampu mengelakkan mana-mana individu yang tidak bersalah dihukum daripada masalah yang timbul," tambah beliau.
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani yang juga berucap dalam majlis sama berkata, skop simposium pada tahun ini yang bertemakan “Peranan, Cabaran dan Kejayaan”, mengetengahkan pelbagai cabang forensik yang turut melibatkan
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dan
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
Jelasnya, kepesatan teknologi menyebabkan modus operandi kegiatan jenayah masa kini semakin mencabar dan sukar diselesaikan dengan menggunakan kaedah penyiasatan konvensional.
"Maka, bantuan teknikal dan analisis forensik dapat memudah serta mempercepatkan proses siasatan yang membolehkan pertuduhan dibuat dengan asas bukti yang kukuh," ujar beliau lagi.
Simposium yang bermula hari ini hingga 28 Oktober depan turut menyaksikan perkongsian kepakaran oleh barisan penceramah dan ahli akademik mengikut bidang masing-masing.
Seusai majlis, Tan Sri Acryl Sani mengiringi Dato' Seri Hamzah melawat sebentar ke Makmal Forensik PDRM.
Hadir sama dalam perasmian tadi ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan)
Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato’ Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, Pengarah JSJ selaku Penasihat NAFSLE 2022, CP Dato' Sri Abd Jalil Hassan, barisan Pengarah PDRM, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, DCP Dato’ Pahlawan Anuar Othman, Timbalan Pengarah (Forensik/ Perancangan Strategik) JSJ Bukit Aman selaku Pengerusi NAFSLE 2022, DCP Azari Abd Rahman, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Hjh. Noorsiah Mohd Saaduddin, para pegawai kanan KDN, PDRM dan agensi-agensi kerajaan serta rakan media.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.

































