Kota Bharu, 27 Oktober 2022 - Hampir 10,000 pengunjung membanjiri Program Kita Demi Negara Zon Timur anjuran
Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang berlangsung pagi tadi di Dataran Lembah Sireh, di sini.
Pelbagai program dan aktiviti menarik disediakan buat para pengunjung, antaranya persembahan kebudayaan, cabutan bertuah, pendaftaran Sahabat Kita Demi Negara, pameran aset-aset serta pertunjukkan
keselamatan melibatkan elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut menjadi tumpuan orang ramai, pastinya kaunter diskaun saman yang disediakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik terhadap beberapa kesalahan trafik terpilih.
Menteri Besar Kelantan, Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' Hj. Ahmad Yakob dan Menteri Dalam Negeri (MDN), Dato' Seri
Hamzah Zainudin bersama Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani turut hadir dalam acara perasmian tadi.
Menerusi program Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 itu juga, berlangsungnya sesi Town Hall antara masyarakat setempat dengan Dato' Seri Hamzah di sebelah petang.
Pelbagai isu dan dasar keselamatan KDN telah dikupas dan diterangkan, dalam memastikan masyarakat memainkan peranannya menjaga kedaulatan negara.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KDN, Dato' Sri
Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua
Polis Kontinjen Kelantan, CP Dato’ Muhamad Zaki Hj. Harun, Ketua
Polis Pahang, CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua
Polis Terengganu, DCP Dato' Rohaimi Md Isa, Timbalan Ketua Polis Kelantan, DCP Dato’ Azman Ayob, barisan Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah Kontinjen Kelantan serta Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Skandaguru Anandan.