Kuala Lumpur, 16 November 2022 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan seramai 10,820 pegawai dan anggota meliputi semua jabatan di Ibu Pejabat Polis (IPP) Bukit Aman, pusat-pusat latihan termasuk elemen
Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam bagi bantuan sumber manusia menjaga keselamatan awam sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Kesemua mereka akan mula menjalankan tugas pada 16 hingga 20 November depan di seluruh negara.
Pelepasan bas yang membawa 2,873 petugas dari IPP Bukit Aman dan
Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL) pagi tadi telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah
Jabatan Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, DCP Gilberd Philip Layang yang mewakili Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Zaini Jass dalam Majlis Pelepasan Bantuan Sumber Manusia PRU-15 di PULAPOL KL di sini.
Terdahulu, DCP Gilberd dalam ucapannya mengingatkan semua petugas agar melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, adil dan professional.
Tegas beliau lagi, kesemua petugas harus menitikberatkan keselamatan dan kebersihan diri serta langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 semasa dalam penugasan nanti.
Turut hadir, Komandan PULAPOL KL, SAC Kamal Faizul Mohd Zain, Timbalan Pengarah
Narkotik PDRM (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, SAC Adnan Azizon, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, SAC Datuk Mohd Sukri Kaman, Timbalan Pengarah (Kewangan/Perolehan/Kepolisan Am) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, SAC Shamsul Amar Ramli serta warga kerja PDRM.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid.