Kuala Lumpur, 19 November 2022 - Rakyat Malaysia hari ini menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi menentukan pembentukan kerajaan baharu di peringkat Persekutuan dan beberapa buah negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Sebanyak 8,958 pusat mengundi telah dibuka di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak bagi membolehkan rakyat mengundi dengan selamat serta bersistematik.
Sekitar jam 9.30 pagi tadi, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani tidak ketinggalan meninjau kelancaran proses pengundian di beberapa buah pusat mengundi, di samping menyantuni warga Pasukan yang bertugas di lapangan.
Antara pusat mengundi yang beliau lawati ialah Sekolah Kebangsaan (S.K) Desa Amanpuri, S.K Intan Baiduri, S.K Setapak Indah dekat sini dan S.K Sungai Kertas, Gombak, Selangor.
Tan Sri Acryl Sani juga sempat meninjau Pusat Komuniti Majlis Bandaraya Subang Jaya dekat Seri Kembangan diakhiri S.K Seri Selangor di Subang Jaya, Selangor.
Yang turut hadir mengiringi beliau tadi ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam merangkap Pengarah Operasi PRU-15 Polis Diraja Malaysia, CP Dato' Sri Hazani Ghazali dan Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Dato' Sasikala Devi Subramaniam.
Menerusi tinjauan tadi juga, beliau dilihat sempat berbual dan beramah mesra dengan para petugas Pasukan serta Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia yang komited bertugas di pusat-pusat mengundi tersebut.
Dalam sidang medianya yang diadakan dekat Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak petang tadi pula, Tan Sri Acryl Sani memaklumkan bahawa proses pengundian PRU-15 yang berlangsung di seluruh negara berjalan lancar dan terkawal.
"Semua pengundi melaksanakan pengundian dengan penuh berhemah, tenang, tenteram dan ini menunjukkan masyarakat kita semakin matang dalam proses pengundian," ujar beliau.
Tan Sri Acryl Sani turut menzahirkan penghargaan beliau kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk keluar mengundi dengan penuh berhemah.
Hadir sama dalam siri lawatan KPN tadi ialah, Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, SAC Mohd Said Ibrahim, Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran), Bukit Aman, SAC Kamaruzaman Abdullah, Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Skandaguru Anandan, Ketua Polis Daerah (KPD) Sentul, ACP Beh Eng Lai, KPD Gombak, ACP Zainal Mohamed Hj. Mohamed, KPD Serdang, ACP A. A. Anbalagan, KPD SUBANG JAYA, ACP Wan Azlan Wan Mamat dan Timbalan KPD Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin









