Langkawi, 11 Januari 2023 - Seekor anjing bernama 'Black' daripada Unit Anjing Pengesan (K9), Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, bersama penjaga haiwan itu, Lans Koperal Johan Jame, menerima sijil penghargaan dan pingat, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, SAC Dato' Suresh Kumar G. Suppiah, berkata penghargaan itu diberikan atas kejayaan Johan bersama Black mengesan dadah jenis Ganja seberat 4.1 gram (g) dalam operasi pada 28 November lalu.
"Dalam operasi itu, Black hanya mengambil masa 10 minit untuk menemui dadah berkenaan yang disembunyikan di belakang rumah suspek, walaupun dalam serbuan awal di rumah sama gagal menemui sebarang bahan larangan.
"Kita menghargai jasa Black kerana berjaya membantu menyelesaikan kes, dan diakui anjing pengesan ini mempunyai kemampuan yang tidak dimiliki manusia," katanya pada sidang media di pekarangan bangunan Seksyen K9 Langkawi, Bahagian Bantuan Teknik D6, di sini, hari ini.