Pulau Pinang, 16 Januari 2023 - Seorang subkontraktor Telekom Malaysia (TM) antara 19 individu ditahan polis kerana terbabit kegiatan curi kabel milik syarikat telekomunikasi itu di sekitar Pulau Pinang dan Kedah dengan kerugian keseluruhan RM910,448.
Kegiatan kumpulan itu terbongkar susulan penahanan 11 lelaki tempatan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD)
TIMUR LAUT, di persimpangan lampu isyarat Jalan Tanjung Bungah, di sini, jam 2.40 pagi pada 10 Januari lalu.
Ketua Polis
Pulau Pinang, CP Dato' Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata kesemua suspek ketika itu sedang memotong dan mengeluarkan kabel bawah tanah, namun gagal menunjukkan sebarang dokumen membabitkan kerja berkenaan lalu ditahan polis.
Risikan lanjut, katanya, membawa penahanan tujuh lagi individu dan seorang wanita yang berperanan sebagai ahli kumpulan dan pembeli kabel curi itu di Sungai Petani, Kedah.
"Seramai 14 daripada mereka terbabit dengan kegiatan curi kabel, lima lagi adalah pembeli yang turut ditahan. Seorang daripada yang ditahan adalah subkontraktor berusia 30-an yang dilantik TM dan polis belum pasti sama ada dia terbabit dengan kes sama di tempat lain.
"Kesemua 19 suspek itu berasal dari Kedah dan berusia antara 27 hingga 47 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.
Sumber: Berita Harian dan PDRM Pulau Pinang