Kuantan, 9 Februari 2023 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) kehilangan satu-satunya pegawai polis yang memegang pingat tertinggi keberanian negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.), Timbalan Ketua Polis (KP) Pahang, DCP Dato' Hj. Abdul Razak Hj. Mohd. Yusoff yang akan bersara wajib esok.
Dato' Hj. Abdul Razak yang berkhidmat dalam PDRM selama 36 tahun empat bulan menjadi Komander 69 Komando
(VAT 69) pada 23 Ogos 2022 sebelum dilantik sebagai Timbalan KP Pahang selama enam bulan sehingga esok.
Bapa kepada lima anak yang menyertai VAT 69 selama 35 tahun itu menjadi individu penting dalam menangani ancaman kumpulan Al-Maunah apabila mengambil risiko mengadakan perbincangan seorang diri dengan kumpulan militan berkenaan yang akhirnya menyerah diri pada tahun 2000.
KP Pahang, CP Dato' Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, persaraan Dato' Hj. Abdul Razak merupakan satu kehilangan besar PDRM terhadap pegawai kanan yang banyak menyumbang khidmat bakti dan jasa kepada negara malah menjadi satu-satunya pegawai yang memegang pingat S.P.
“Dari segi kepakaran dalam Unit 69 Komando memang tidak boleh dinafikan lagi yang mana sepanjang bertugas beliau telah terlibat dalam pelbagai operasi di hutan belantara, bandar, sempadan dan perairan negara malah terlibat dalam penugasan sebagai pengiring rapat kepada Perdana Menteri dan pembesar negara yang datang ke Malaysia.
“Banyak operasi yang beliau telah jalani namun operasi yang melonjakkan nama beliau serta imej PDRM ialah menumpaskan pengganas militan Al-Maunah pimpinan Mohamed Amin Razali tanpa pertumpahan darah,” katanya.