Kota Kinabalu, 28 Februari 2023 - Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin pagi tadi berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)
Sabah di Jalan Kepayan, di sini.
Berangkat mengiringi beliau ialah Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr.) Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R. M. Jasni.
Yang
turut hadir ke majlis tadi, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hj. Hajiji Hj. Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hjh. Juliah Salag, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail bersama isteri, Datin Seri Norhayati Musa dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Hj. Safar Untong bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Dr. Hjh. Nuinda Hj. Alias.
Beliau yang tiba kira-kira jam 10.00 pagi, disambut oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani dan Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Idris Abdullah bersama isteri, Datin Suraya Zainal.
Tertib acara diteruskan dengan ucapan aluan oleh Tan Sri Acryl Sani sebelum Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar membacakan lafaz perasmian bangunan IPK dengan disusuli lintas hormat helikopter milik Pasukan Gerakan Udara.
Seusai perasmian, semua tetamu kehormat dan jemputan turut dibawa melawat ke ruang pameran yang terletak di bersebelahan dataran kawad.
Sementara itu, Tan Sri Acryl Sani dalam ucapan aluannya menyifatkan perasmian bangunan IPK Sabah pada hari ini sebagai satu lembaran baharu sejarah infrastruktur Polis Diraja Malaysia.
"Untuk makluman para hadirin, projek pembangunan Pentadbiran Blok A dan Blok B IPK Sabah menelan kos sebanyak RM90.3 juta. Mengimbau kembali sejarah pembinaan IPK ini, ia mula dilaksanakan oleh pemaju yang dilantik iaitu syarikat Pembinaan BLT Sdn. Bhd. pada 16 Julai 2007 dan siap sepenuhnya pada tanggal 16 Januari 2013.
"Alhamdulillah, pada tanggal 13 Julai 2013, kompleks ini telah beroperasi sepenuhnya. Selain Bangunan Pentadbiran Blok A dan B, kompleks IPK baharu ini turut dilengkapi dengan Lokap Berpusat, Bengkel Komunikasi, Balai Pengawal, 17 Unit Kuarters Kelas C dan 60 Unit Kuarters Kelas D," ujar beliau.
Katanya lagi, atas faktor itulah seluruh warga Pasukan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Kerajaan,
Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kerajaan Negeri di atas pembinaan kompleks IPK tersebut.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Hj. Ruji Hj. Ubi dan isteri, Timbalan KSU (Keselamatan) KDN, Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, barisan Pengarah serta wakil Pengarah PDRM.
Jurugambar: Inspektor Afiq Nashriq Mohamed Yusof dan Koperal Mohamad Shazril Abdul Rashid