Rompin, 8 Mac 2023 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah hari ini berkenan mencemar duli berangkat menziarahi dan menyantuni mangsa banjir di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar daerah Rompin.
Turut berangkat dalam lawatan itu ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Keberangkatan tiba KDYMM Yang di-Pertuan Agong telah disambut Ketua
Polis Pahang, CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf dan Ketua-ketua Jabatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.
Selain melakukan tinjauan di lokasi, KDYMM Yang di-Pertuan Agong turut menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di beberapa PPS antaranya di Sekolah Kebangsaan Leban Chondong, Sekolah Kebangsaan Tanjung Gemok dan Sekolah Kebangsaan Sarang.