Kota Bharu, 16 Mac 2023 - Polis akan menambah 19 lagi Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani kes-kes seksual dan penderaan ke atas kanak-kanak dan wanita di seluruh negara.
Pengarah JSJ, CP Dato' Sri Abd Jalil Hassan berkata setakat ini, hanya ada sebanyak 15 CIC
di seluruh negara iaitu sebuah di setiap kontinjen.
Beliau berkata penambahan 19 buah lagi CIC itu, telah diluluskan dan kini pihak PDRM sedang mencari lokasi sesuai.
“Setiap negeri akan ditambah satu lagi CIC termasuk sebuah lagi di Kelantan iaitu di Machang.
“Di Sabah dan Sarawak pula akan ditambah dua lagi bagi setiap negeri, kerana keluasan negeri tersebut di samping dapat memberi kemudahan kepada saksi dan mangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan CIC yang bertempat di Perumahan PDRM di Kemumin, di sini, hari ini.