Menu

#WarAgainstDrugs POSTING PILIHAN: POLIS RAMPAS DADAH LEBIH RM11 JUTA, TAHAN 7 INDIVIDU

Shah Alam, 31 Mac 2023 - Sejumlah 298.987 kilogram (kg) dadah jenis Methamphetamine dan 17.6kg Heroin yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM11.034 juta, dirampas melalui beberapa serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Selangor dan Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Hussein Omar Khan berkata, tujuh individu termasuk seorang wanita berusia 27 hingga 52 tahun, turut ditahan dalam operasi berkenaan.
Beliau berkata, kes pertama membabitkan rampasan dadah dipercayai Methamphetamine, selain dua lelaki warga tempatan ditahan disyaki melakukan transaksi pemindahan dadah dari sebuah Toyota Estima ke Toyota Alphard di tempat parkir kereta di sebuah pangsapuri di Damansara Perdana, Petaling Jaya, kira-kira jam 1.50 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan, polis merampas sembilan guni berisi 279 bungkusan bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine dianggarkan seberat 294.49kg. Susulan itu, seorang lagi lelaki dipercayai ahli sindiket, ditahan di Shah Alam.
"Kesemua suspek kes ini berusia 35 hingga 52 tahun dan masing-masing mempunyai rekod lampau bersabit jenayah dan dadah. Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati dua suspek positif," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Dalam kes kedua, Dato’ Hussein berkata, seorang lelaki ditahan di kawasan parkir kereta di tepi jalan di Pelabuhan Klang, dan polis menjumpai 28 ketulan dadah disyaki heroin seberat 12.6kg serta satu bungkusan disyaki Methamphetamine dianggarkan seberat 0.497kg di dalam Toyota Wish yang digunakan suspek.
Susulan tangkapan itu, katanya, polis memeriksa sebuah Perodua Myvi di kawasan sebuah pangsapuri di Ampang sebelum menemukan 11 ketulan disyaki heroin dengan anggaran berat 4.89kg di dalam but kereta berkenaan.

Berikutan itu, beliau berkata, tiga lagi individu termasuk seorang wanita ditahan di Klang, Tanjung Malim (Perak) dan Cyberjaya kerana disyaki terbabit sindiket berkenaan.
Bacaan lanjut seperti di pautan berikut, https://www.bharian.com.my/.../polis-rampas-dadah-lebih...

Sumber: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM dan Berita Harian Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS