Menu

KERATAN AKHBAR PILIHAN: SEMUA JENIS MERCUN DILARANG JUAL DALAM TALIAN - MDN

Putrajaya, 3 April 2023 - Sebarang bentuk penjualan mercun dan bunga api secara dalam talian adalah dilarang, walaupun membabitkan jenis produk yang dibenarkan untuk jualan.

Ini adalah sebahagian daripada garis panduan diputuskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memberi kebenaran kepada penjualan 46 bunga api jenis ‘Happy Boom' dan Pop-pop.

Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu wajib dipatuhi semua pihak, walaupun tiada peraturan khusus atau jelas berkaitan tindakan itu.

“Jualan secara online tidak dibenarkan dan ingin saya tegaskan di sini bahawa KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau untuk memastikan penjual mempunyai permit sah menjual dari jenis bunga api yang dibenarkan.
“Malah jualan juga harus dibuat di tempat atau premis dianggap selamat dan pihak berkuasa akan terus melaksanakan penguatkuasaan mengikut Akta Bahan Letupan 1957,” katanya di sini, kelmarin.

Datuk Seri Saifuddin Nasution turut berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ada aduan berkaitan penjualan secara dalam taIian dikesan.
“Sebarang tindakan pemantauan, pemeriksaan dan penguatkuasaan akan dilaksanakan PDRM dan KDN dengan turut membabitkan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pihak berkuasa tempatan.

Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti di lampiran.

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS