Sungai Petani, 8 April 2023 - Sebuah gerai di kawasan Bedong di sini, yang disangka hanya menjual lemang rupanya turut menjadi lokasi berurusan jual dan beli dadah.
Kegiatan itu terbongkar apabila polis menyerbu kawasan itu, Rabu lalu dan menemui 17 ketulan mampat dadah jenis Ganja.
Ketika serbuan dilakukan jam 6 petang itu, peniaga lemang berusia 62 tahun itu dipercayai sedang berurusan jual dan beli dengan seorang pelanggan lelaki berusia 33 tahun di bahagian belakang gerai lemang terbabit.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan sepasukan Unit K9, Bukit Kayu Hitam.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis menahan empat lelaki termasuk peniaga lemang serta seorang lelaki disyaki pelanggan dan dua lelaki berusia 18 dan 20 tahun yang juga pekerja di gerai lemang berkenaan.
“Suspek pertama dan kedua direman tujuh hari bermula 6 April hingga 12 April ini, manakala dua lagi suspek direman lima hari bermula 6 April hingga 10 April ini bagi membantu siasatan," katanya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Harian Metro seperti lampiran.