Kuala Lumpur, 3 Mei 2023 - Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dikesan menjadi lokasi tumpuan penunggang motosikal berkuasa tinggi untuk menduga kelajuan serta kebolehan jentera masing-masing sehingga membahayakan pengguna lain.
Walaupun had kelajuan maksimum di kedua-dua lebuh raya berkenaan adalah antara 90 hingga 110 kilometer sejam
(kmj), namun ada motosikal berkenaan ditunggang sehingga 220 kmj di laluan berliku dan berbukit bukau.
Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber)
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, Bukit Aman, ACP Mohd Radi Abd Rahman berkata, pihaknya sering mengesan aktiviti menunggang pada kelajuan tinggi iaitu antara 150kmj hingga 220 kmj, yang dilakukan oleh kumpulan konvoi penunggang pada hari minggu.
“Pemantauan kita mendapati kebiasaannya mereka terdiri lebih daripada 10 penunggang dalam satu kumpulan yang awalnya bertujuan santai kemudiannya terdorong menguji motosikal masing-masing.
“Penunggang motosikal berkuasa tinggi ini dipercayai terdiri daripada pelbagai kelab dan kumpulan.
“Polis percaya lokasi ini (Kuala Lumpur-Karak) menjadi "hotspot" kerana laluan itu mencabar, berselekoh dan dianggap sesuai untuk menguji motosikal terbabit," katanya.
Beliau berkata, sebagai langkah penguatkuasaan, risikan sentiasa dilakukan dalam usaha mengekang aktiviti terbabit daripada terus berleluasa.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Sinar Harian seperti di lampiran.