Kuala Lumpur, 11 Mei 2023 - CP Dato' Sri Ramli Mohamed Yoosuf secara rasmi menggalas jawatan sebagai Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) yang ke-12 dalam lipatan sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini.
Majlis pemakaian lencana pangkat Komisioner Polis (CP) pengarah dan serah terima tugas jawatan berserta penyerahan tongkat kuasa Pengarah JSJK berlangsung di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman di sini dengan disaksikan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani.
Majlis juga diserikan dengan pemakaian lencana pangkat CP kepada Timbalan Pengarah
Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, CP Dato' Nerita Yaacob.
Dato' Sri Ramli, 58 tahun, dilahirkan pada 21 Mac 1965 dekat Kuala Terengganu telah memulakan karier kepolisannya sebagai Inspektor Pelatih pada tahun 1987.
Sepanjang hampir 36 tahun perkhidmatan, beliau juga pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam Pasukan. Antaranya, Penolong Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Awam), Setiausaha Polis Malaysia dan Ketua Polis Pahang bermula 17 Jun 2021 sehingga 10 Mei 2023.
Pemegang ijazah Sarjana Muda dari Universiti Idaho State, Pocatello, Amerika Syarikat itu juga berpengalaman luas dalam siasatan jenayah kolar putih, hasil daripada kursus dan latihan yang disertainya sama ada dalam dan luar negara.
Antaranya, Kursus Jenayah Komersil di Maktab PDRM pada tahun 1989, Law International Trade and Shipping dan Law Banking and Negatiable Instruments di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (bermula 1990), Regulation of Markets di Singapura (1990) serta Human Resource and Industrial Relations Management di Amerika Syarikat pada tahun 1995.
Turut berlangsung dalam majlis tadi ialah serah terima tugas bagi jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (
PERKEP) JSJK di antara Datin Sri Johariah Urib Mohd Arifin dengan isteri kepada Dato' Sri Ramli iaitu, Datin Sri Fatimah Hj. Moyedden. Majlis tersebut disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa.
Hadir sama, barisan Pengarah PDRM dengan isteri, para pegawai kanan dan pegawai rendah polis, Pegawai Awam PDRM, ahli-ahli PERKEP serta rakan-rakan media.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.