Kuala Lumpur, 19 Mei 2023 - Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas RM1.7 bilion barangan kontraban, haiwan dan hidupan liar serta pelbagai barangan kawalan dalam tempoh tiga tahun sejak 2021 hingga April lalu.
Jumlah berkenaan membabitkan RM658.6 juta bagi tahun 2021, RM540.2 juta (2022) dan RM538.2 juta dalam tempoh empat bulan tahun
ini.
Timbalan Pengarah (Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas), Jabatan KDNKA Bukit Aman, SAC Mohammad Azlin Hj. Sadari berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 4,460 kes dicatatkan dengan menahan 7,288 orang untuk tahun 2021, 4,505 kes dengan tangkapan 8,186 orang (2022) serta 1,653 kes (2,134 orang) sejak Januari hingga April lalu.
Menurutnya, bagi kes kontraban, sebanyak 508 kes dengan tangkapan 480 orang serta rampasan bernilai RM190 juta sepanjang tahun lalu berjaya ditumpaskan Jabatan KDNKA.