Menu

WARGA PDRM DISERU HAYATI, BUDAYAKAN NILAI INTEGRITI SELARI KONSEP MALAYSIA MADANI - KPN

Kuala Lumpur, 7 Jun 2023 - Elemen ilmu, penghayatan dan pembudayaan integriti perlu diamalkan dalam tugasan harian ke arah melahirkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bersikap positif dan mengamalkan nilai-nilai murni selari dengan konsep Malaysia Madani.

Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani berkata, perkara tersebut penting ditekankan secara langsung di semua sudut dalaman Pasukan agar nilai integriti di kalangan warga Sang Saka Biru tidak mudah terhapus.

"Segala inisiatif dan langkah yang diambil untuk menangani salah laku dalam Pasukan perlu disegerakan, bagi mengelakkan ia menjadi ‘barah’ yang secara perlahan-lahan membinasakan PDRM.

"Tindakan pembendungan dan pencegahan adalah lebih penting dan berkesan kerana kita tidak mahu ‘nasi menjadi bubur’ dan maruah Pasukan akhirnya lebur", ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perhimpunan bulanan bagi bulan Jun 2023 anjuran Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, di sini.

Menurut Tan Sri Acryl Sani, cabaran yang paling getir dihadapi Pasukan ketika ini ialah untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap PDRM yang semakin hari semakin dilanda dengan pelbagai bentuk krisis imej yang tidak menyenangkan.

"Elemen kepantsan, ketepatan dan ketelusan dalam perkhidmatan kepolisan khususnya dalam siasatan kes amatlah dituntut oleh masyarakat ketika ini. Ketua-Ketua Polis Daerah khususnya, hendaklah berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dengan memberi keutamaan kepada memudahkan urusan dan mengurangkan kerenah birokrasi.

"Hindarilah sikap buruk yang menonjolkan sifat-sifat angkuh, sebaliknya kita terapkan nilai-nilai murni serta memberi keutamaan kepada keperluan pelanggan sama ada mereka adalah orang ramai ataupun sesama kita warga Pasukan", ujar beliau lagi.

Sebagai menghargai warga Pasukan yang telah menjunjung tinggi nilai integriti dan berkhidmat dengan penuh ikhlas serta jujur, seramai enam pegawai kanan, pegawai rendah polis serta pegawai awam diumumkan sebagai penerima Anugerah Integriti.

Mereka ialah ASP Khairul Anuar Mohamed dari  Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, Sarjan Siti Rafizah Tumiran dari BIPS, IPD Kota Kinabalu, Koperal Chandra Mogan Ratha Krishnan dari Bahagian D6, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dan Koperal Sokongan Mohd Faizal Hamzah dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komunuti, IPD Johor Bahru Selatan.

Juga diberi penghargaan ialah Encik Mohd Fathul Adni Jasni dari BIPS, IPD Kajang dan Puan Nordiana Saari dari BIPS, IPD Hilir Perak.

Hadir sama dalam perhimpunan tadi ialah Timbalan KPN, DIG Tan Sri Razarudin Husain, Pengarah JIPS selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan, CP Dato’ Sri Azri Ahmad, barisan Pengarah PDRM dan Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Noorsiah Mohd Saaduddin.

Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin, Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Konstabel Muhammad Azri Mohd. Sabri.

May be an image of 9 people and text

May be an image of 8 people and text

May be an image of 8 people and text

May be an image of 5 people and text

May be an image of 5 people and text

May be an image of 6 people and text

May be an image of 10 people and text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS