Tapah, 14 Jun 2023 - Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Kem Batalion 3, Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda bersama DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim kira-kira jam 9.30 pagi disambut oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani bersama isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa dan Ketua Polis Perak, CP Dato' Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri.
Berangkat sama ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa bersama DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima Binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah bersama DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormatan yang diketuai oleh DSP Khairul Marwan Kahar, terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota dari Batalion 3 PGA.
Berucap dalam majlis tersebut, Tan Sri Acryl Sani menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan daripada pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Perak atas usaha serta komitmen tinggi semua pihak bagi memastikan Kem Batalion 3 PGA dapat menjalani proses transformasi dalam pembangunan infrastrukturnya, seiring dengan perubahan zaman.
"Sesungguhnya, pembinaan kemudahan-kemudahan di kem ini adalah bukti komitmen tinggi kerajaan dalam menyokong usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperkasakan lagi pelan keselamatan Pasukan bagi melindungi rakyat serta menjaga keamanan tanah air tercinta ini," ucap beliau lagi.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk 32 unit banglo kelas C, D dan E, 173 unit rumah teres serta 429 unit kuarters kelas F, balai tabik, padang kawad, kafeteria, bengkel komunikasi, tabika dan lain-lain.
Majlis turut diserikan dengan persembahan Lagenda Perang Senoi Praaq oleh 40 anggota Batalion 3 PGA dan persembahan payung terjun daripada 6 penerjun unit elit 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas.
Majlis berakhir seusai Sultan Nazrin menandatangani plak perasmian Kem Batalion 3 PGA sebagai simbolik acara perasmian.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, CP Dato’ Sri Hazani Ghazali, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Dato' Seri Sahabudin Abd Manan, warga kerja PDRM serta pengamal media.
Jurugambar: Inspektor Afiq Nashriq Mohamed Yusof, Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.






