Kuala Lumpur, 15 Jun 2023 - Seorang lelaki warga Iran yang disyaki mendalangi aktiviti pengedaran dadah syabu dan ganja ke sekitar Lembah Klang, diberkas dalam dua serbuan berasingan, di sini, kelmarin.
Selain warga Iran berusia 48 tahun itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang berperanan sebagai penghantar dadah untuk lelaki Iran terbabit.
Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato' Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan pertama oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur itu dilakukan ke atas sebuah kondominium di Taman Segambut Aman, di sini.
"Dalam serbuan ini polis menemui dadah syabu seberat 4.2 kilogram dianggarkan bernilai RM139,000 dalam sebuah kereta jenis Toyota Estima di kawasan tempat letak kereta kondominium berkenaan, selain menahan lelaki tempatan terbabit.
"Hasil soal siasat membawa serbuan kedua di sebuah kondominium di Jalan Ampang yang didiami lelaki warga Iran terbabit," katanya.
Dato' Mohd Shuhaily berkata, dalam serbuan kedua ini polis menemui 103.3 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM3.4 juta dan ganja seberat 34.7 kilogram bernilai RM107,000.
"Siasatan mendapati lelaki Iran ini seorang jurutera yang sering keluar dan masuk ke negara ini sejak 2014 menggunakan visa pelancong dan kali terakhir keluar serta kembali ke negara ini pada bulan lalu.
"Kita percaya kedua-dua mereka ini mula memasarkan dadah di sekitar Lembah Klang sejak tahun lalu, manakala suspek warga Iran ini terbabit dalam pengedaran dadah di negara asalnya sejak 2014," katanya.
Beliau berkata, semua suspek direman tujuh hari sehingga Selasa ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas mampu menampung penggunaan seramai 1.4 juta penagih.