Cameron Highlands, 17 Jun 2023 - Seorang penyelia kilang yang baru sahaja dibebaskan dari penjara kelmarin kerana mengugut dan menunjal kepada pemandu wanita, sekali lagi dijatuhkan hukuman sembilan hari penjara dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Hukuman itu dikenakan selepas dia mengaku bersalah mendatangkan kecederaan kepada dua pelayan restoran, awal Jun lalu.
Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Qasiratuljannah Usmani Othman.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pelayan restoran warga asing, Samir Das di sebuah restoran steamboat di Tanah Rata, di sini, jam 4.20 petang, 4 Jun lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Zaim Faiz didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang lagi pelayan restoran, V Dennis Pillai, 23, di lokasi dan masa sama serta dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti di lampiran.