Petaling Jaya, 5 Julai 2023 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima kira-kira 7,000 unit kamera badan dijangka seawal tahun depan untuk meningkatkan profesionalisme badan penguat kuasa itu dalam melaksanakan tugas membanteras jenayah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Dato’ Seri Sahabudin Abd. Manan berkata, proses perolehan kamera badan tersebut sedang
dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri dan PDRM.
Menurut beliau, dalam perolehan fasa pertama pada suku pertama tahun depan, kerajaan meluluskan peruntukan RM30 juta yang turut meliputi sistem, peralatan sokongan dan latihan terhadap penggunaan kamera badan tersebut.
Susulan itu, kata beliau, sebanyak 129 syarikat sudah menghantar tender untuk pembekalan kamera badan tersebut pada 24 Mei lalu.
“Fasa pertama kira-kira 7,000 unit kamera badan akan diterima PDRM tetapi ketika ini perolehan tersebut masih di peringkat KDN dengan kesemua tender dihantar akan dinilai KDN sebelum ke jawatankuasa penilaian PDRM untuk pemilihan.
“PDRM dijangka memperoleh kamera badan selepas sembilan bulan surat setuju terima oleh syarikat yang berjaya memperoleh tender,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Utusan Malaysia seperti di lampiran.