Menu

INOVASI TRANSFORMASI PERKHIDMATAN PDRM

Kuala Terengganu, 14 Julai 2023 – Bertemakan “Inovasi Transformasi Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM)” telah diadakan Majlis Persada Inovasi Peringkat PDRM Tahun 2023 yang berlangsung dari 11 Julai sehingga 12 Julai lalu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu.

Sebanyak 11 Kumpulan Inovatif Kreatif (KIK) daripada 36 kumpulan yang berjaya ke peringkat akhir mewakili dari pelbagai jabatan dan kontinjen serta daerah mempamerkan produk kreativiti mereka menerusi pertandingan yang dianjurkan.

Majlis sambutan bertambah meriah dengan kehadiran Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay merangkap Setiausaha Jawatankuasa Pemandu Pengurusan Inovasi PDRM yang berbesar hati merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi PDRM Tahun 2023 yang diadakan di Hotel Primula Beach, Terengganu di sini, semalam.

Ketibaan beliau telah disambut oleh Ketua Polis Terengganu yang juga selaku pengelola majlis, DCP Datuk Mazli Mazlan bersama SAC Dasar Strategik PDRM selaku Pemangku Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman merangkap Urus Setia Jawatankuasa Pemandu Pengurusan Inovasi PDRM, SAC Azman Abd Razak.

Berucap dalam majlis tersebut, Datuk Seri Ayob Khan berkata sambutan yang diadakan ini adalah inisiatif berterusan PDRM dalam mengiktiraf idea yang telah digarap dalam kalangan warga Pasukan. Seterusnya, ia diterjemahkan melalui penghasilan produk dan perkhidmatan yang disuntik dengan elemen-elemen inovasi agar mampu memberi impak kepada organisasi khususnya dan masyarakat amnya.

"Menerusi platform pertandingan KIK dapat menghimpunkan idea-idea dan ciptaan baharu sebagai solusi permasalahan di samping berperanan untuk menambah baik produk serta perkhidmatan sedia ada, bertepatan dengan tema sambutan tahun ini, "ujar beliau. Tambah beliau PDRM mendambakan warga kerja yang berfikiran kritis dan konstruktif dalam melaksanakan tanggungjawab serta mencari solusi kepada setiap permasalahan secara kreatif dan inovatif, di luar kotak kelaziman.
Datuk Seri Ayob Khan turut menyampaikan hadiah dan sijil penyertaan kepada para pemenang yang menyertai pertandingan di mana Kumpulan Taming Sari dari Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman memenangi Kategori Penambahbaikan diikuti Kumpulan Qber, Mac dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, Kelantan serta Kumpulan Pokel dari IPD Tumpat, Kelantan masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Manakala bagi Kategori Penciptaan pula dimenangi oleh Kumpulan Kenyalang Tech dari Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, diikuti Kumpulan Synergy Wow dari IPD Putrajaya di tempat kedua manakala di tempat ketiga telah dimenangi oleh Kumpulan The Field Warriors dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang. Turut diumumkan adalah Anugerah Projek Terbaik yang dimenangi oleh R.J2 Friendly dari IPK Terengganu manakala Anugerah Kumpulan Terbaik dimenangi oleh Kumpulan Der Blue Soldat, IPD Klang Utara, Selangor. Bagi Anugerah Persembahan Terbaik telah dimenangi oleh Kumpulan T-Malim dari IPD Muallim, Perak dan Anugerah KIK Harapan diungguli oleh The Creative Cops, IPD Bintulu, Sarawak serta Eliminators Tech dari IPD Song, Sarawak.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, CP Dato’ Muhamad Zaki Harun, Ketua Polis Pahang, CP Dato’ Yahya Othman, Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, CP Dato' Abdul Aziz Abdul Majid dan para pegawai kanan PDRM serta para pengamal media.

Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS