Kuala Lumpur, 20 Julai 2023 - Usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan pelbagai program pencegahan dan menumpaskan jenayah membuahkan hasil apabila berjaya menurunkan kadar jenayah indeks sebanyak 292 kes, sepanjang tempoh enam bulan pertama bagi tahun 2023.
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM akan terus memperkasakan kredibiliti, kecekapan serta kemahiran pegawai-pegawai bagi
memastikan kualiti “crime prevention” dan “crime suppression” adalah pada tahap tertinggi.
“Dalam pada itu,
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah berjaya menyelesaikan sebanyak 16,518 kes daripada 25,482 kes jenayah indeks yang dilaporkan bersamaan 64.8 peratus.
“Dalam tempoh tersebut juga, daripada 56,677 kertas siasatan yang dibuka melibatkan jenayah indeks dan non- indeks, sejumlah 31,014 pertuduhan telah dicapai iaitu 54.72 peratus,” kata beliau semasa berucap dalam Perhimpunan Bulanan bagi bulan Julai anjuran JSJ, Bukit Aman, di sini.
Bagi menangani masyarakat hari ini yang semakin celik dan peka akan hak mereka di sisi undang-undang, Tan Sri Razarudin sekali lagi menekankan dua fokus utama yang memerlukan pelaksanaan secara agresif, juga pemantauan secara berterusan, di setiap peringkat dalam Pasukan iaitu perkhidmatan PDRM bertunjangkan integriti dan tata kelola yang baik (“good governance”) serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat.
Dalam majlis yang diadakan, Tan Sri Razarudin berbesar hati menyampaikan Sijil Penghargaaan kepada 15 orang pegawai polis dan pegawai awam sebagai tanda menghargai warga Pasukan yang telah mempamerkan prestasi kerja yang cemerlang sepanjang perkhidmatan.
Hadir sama, Timbalan KPN, DIG Datuk Seri
Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik, JSJ, Bukit Aman selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan, DCP Dato’ Suresh Kumar G. Suppiah, barisan Pengarah PDRM dan sebahagian warga kerja Bukit Aman.