Kuala Lumpur, 22 Julai 2023 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain meluangkan masa melakukan "walkabout" menyantuni masyarakat di sekitar Jalan Alor, Bukit Bintang berdekatan Pusat beli- belah Pavillion di sini, malam tadi.
Aktiviti yang julung kali dilaksanakan bersama pucuk pimpinan tertinggi Pasukan itu telah dianjurkan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Kuala Lumpur (IPK
KL).
Tan Sri Razarudin yang diiringi timbalannya, DIG Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama barisan pengarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato' Mohd Shuhaily Mohd Zain telah meluangkan masa hampir dua jam untuk mendekatkan diri dengan masyarakat setempat. Selain beramah mesra dengan pengunjung, mereka berkesempatan mendengar taklimat yang disampaikan oleh wakil Syarikat Tesla (Malaysia - Singapura) berkenaan kereta elektrik Tesla yang dipamerkan di pusat beli-belah terkemuka itu dan menyaksikan persembahan Bob Buskers bersama Band Polis Kuala Lumpur.
Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan "visibility" dan kehadiran polis di kawasan awam di samping memberi peluang kepada orang ramai berinteraksi dengan pihak berkuasa secara langsung.
Dalam program tersebut, pengedaran beberapa risalah pencegahan jenayah oleh AMANITA Kuala Lumpur kepada para pengunjung turut dijalankan bagi memberi informasi terkini berhubung tip pencegahan jenayah, keselamatan jalan raya dan pendedahan jenayah sepanjang program berlangsung.
Hadir sama, Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, DCP Dato' Fadzil Ahmat, pemangku Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, SAC Hj. Habibi Hj. Majinji, barisan ketua jabatan, ketua polis daerah serta pegawai kanan IPK KL.