Menu

HARI PAHLAWAN 2023: PANTOMIM PENGORBANAN 'PAHLAWAN SIMUNUL' RUNTUN JIWA RAKYAT MALAYSIA

Putrajaya, 31 Julai 2023 - Kisah pengorbanan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertempur demi mempertahankan kedaulatan negara di Perkampungan Air Sri Jaya dekat Semporna, Sabah lebih 10 tahun lalu telah diabadikan dalam Pantomim Pahlawan Simunul sempena Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan Negara, di sini, pagi tadi.

Pantomin yang dipersembahkan nyata meruntun jiwa seluruh rakyat Malaysia yang dapat merasakan suasana pertempuran berdarah yang berlaku pada 2 Mac 2013 hingga mengorbankan enam pegawai dan anggota dari Cawangan Khas, Pasukan Gerakan Am (PGA), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna ketika mereka terlibat dalam misi menentang pengganas Royal Sulu Force.

Turut mengalirkan air mata ketika menyaksikan kemuncak acara istiadat yang dianjurkan PDRM tahun ini ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Pahlawan Pasukan yang diabadikan dalam pantomim tadi ialah Allahyarham ACP Ibrahim Lebar, mendiang DSP Michael Padel, Allahyarham Sarjan Mejar (SM) Baharin Hamit, Allahyarham SM Abd Azis Sarikon, Allahyarham Koperal Azrul Tukiran dan Allahyarham Sarjan Sokongan Salam Togiran.

Persembahan pantomim yang menyayat hati itu dijayakan oleh 150 pegawai dan anggota polis dari 69 Komando, Muzium PDRM, Pasukan Gerakan Udara, PGA, Bahagian D6 Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Bahagian Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman dan Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat).

Lebih bermakna buat PDRM tadi ialah apabila KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku berdua bercemar duli berangkat turun dari pentas diraja untuk disembah kenal oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Hussain yang diiringi Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, CP Dato' Sri Hazani Ghazali sebelum menyantuni waris wira-wira Pasukan terkorban yang dibawakan khas dalam istiadat tahun ini.

Terdahulu, istiadat yang penuh bersejarah pagi tadi membuka tirainya dengan tiupan paluan akhir atau lebih dikenali sebagai "last post" yang begitu signifikan dengan Pasukan Keselamatan Negara terutamanya PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia.
Istiadat kemudian disusuli dengan bacaan sajak bertajuk "Pahlawan" yang dideklamasikan oleh Sarjan Rosheini Kassim dari PDRM dan Pegawai Waran 1 Mazlan Mat Jusof dari Tentera Darat Malaysia sebelum diteruskan dengan tiupan paluan fajar bagi menaikkan bendera Jalur Gemilang.

Menerusi istiadat yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia tadi juga menyaksikan enam detachment perbarisan mengambil bahagian termasuk PDRM serta Pesara Polis dan Bekas Polis PDRM di bawah pimpinan Pegawai Pemerintah Baris, Superintendan Mohd Rezuan Juragan dengan dibantu Penolong Pegawai Pemerintah Baris, DSP Mohd Aster Mohamad.

Antara yang hadir ke istiadat pagi tadi ialah Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Dato' Seri. Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pertahanan, Dato' Seri Utama Hj. Mohamad Hassan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama isteri, Datin Seri Norhayati Musa, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi Buang TUDM bersama isteri Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hjh. Tengku Muhaini Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman, Timbalan KPN, DIG Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama isteri selaku Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, SAC Datin Seri Zalena Mohd Ariffin dan barisan Pengarah PDRM bersama isteri.

Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Lans Koperal Muhamad Izqhar Zainal Ibidin dan Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.

May be an image of 2 people and text

May be an image of 6 people

May be an image of 5 people and text that says 'POLIS'

May be an image of 7 people

May be an image of 1 person, the Tomb of the Unknown Soldier and text

May be an image of 1 person and text

May be an image of 6 people, dais and text

May be an image of 3 people and text

May be an image of 2 people and text

May be an image of 12 people and text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS