Seremban, 5 Ogos 2023 - Tindakan pantas Ketua Balai Polis Jalan Campbell, Inspektor Adi Khusaini Saripudin yang menarik seorang wanita yang disyaki cuba terjun dari aras lima sebuah pusat beli-belah, di sini pada Rabu lalu, membantu menyelamatkan nyawa wanita terbabit.
Pada kejadian jam 10 malam itu, wanita berusia 20 tahun berkenaan dikatakan tidak berganjak dari bahagian tepi bangunan walaupun sudah dipujuk
anggota polis.
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Arifai Tarawe berkata, terdahulu pihaknya menerima aduan awam yang menyatakan ada individu disyaki cuba terjun dari aras lima parkir kenderaan premis terbabit.
“Tiba di lokasi, kami dapati seorang wanita berada di tebing parkir kenderaan dan memberitahu ingin terjun.
“Kami berusaha memujuk dan menenangkannya, namun dia enggan berganjak,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, akhirnya Inspektor Adi bertindak pantas menarik wanita itu dan berjaya menyelamatkannya.