Muar, 4 September 2023 - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia sedang mengkaji kaedah kawal selia yang sesuai bagi menguruskan hal ehwal pesara polis dan bekas polis.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia bagi menjamin kebajikan golongan itu yang meliputi sejumlah 42,278 orang setakat hujung tahun lalu, selain menghargai sumbangan dan jasa
mereka.
"Berdasarkan unjuran persaraan pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis pada 2023, dianggarkan seramai 3,990 orang yang akan bersara, menjadikan jumlah pesara polis menjelang penghujung tahun 2023 adalah seramai 46,268 orang.
"Bilangan ini adalah satu bilangan yang besar untuk diuruskan dan memerlukan satu kaedah kawal selia yang teratur diwujudkan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pesara Polis Johor Cawangan Muar, di sini hari ini.