Subang, 9 September 2023 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hari ini telah dianugerahkan Lencana Sayap Kehormat Juruterbang
Pasukan Gerakan Udara (PGU) sebagai pengiktirafan tertinggi
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam kepada beliau sempena penubuhan PGU ke-44 yang akan disambut pada Isnin depan dekat Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) Ipoh, Perak.
Penganugerahan lencana
kehormat itu telah disempurnakan oleh Komander PGU, DCP Dato' Noor Sham Md Jani di Pusat Latihan PWN Excellence, Pangkalan
Udara TUDM Subang.
Terdahulu, Tan Sri Razarudin telah mengikuti sesi latihan simulator "Full Flight Level D" menggunakan AgustaWestland AW139 bagi mengendalikan helikopter selama dua jam, seusai ditaklimatkan mengenai prosedur asas pengendalian simulator tersebut oleh Ketua Jabatan Latihan Simulator PWN Excellence, Kapten Mohd Hazani Razalli.
Pusat latihan PWN Excellence telah diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam
Malaysia (CAAM) dan European Aviation Safety Agency (
EASA) bagi memberikan khidmat profesional dalam pengendalian helikopter kepada syarikat swasta dan agensi kerajaan yang berminat untuk mengikuti latihan tersebut.
Turut hadir dalam majlis ringkas tadi ialah Ketua Pegawai Eksekutif PWN Excellence, Encik Hazlee Jehan, Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Dr. Norazrin Shamsudin TUDM serta warga kerja PGU Pangkalan Subang.