Ipoh, 11 September 2023 - Sambutan Hari Ulang Tahun
Pasukan Gerakan Udara (PGU) ke-44 yang disambut kali ini merupakan simbolik rasa sayang dan cintanya warga PGU kepada Pasukan dan negara.
"Sambutan Hari Ulang Tahun PGU mempunyai nilai yang tersendiri demi meningkatkan kecintaan dalam kalangan pegawai dan anggota terhadap PGU sendiri, ibarat pepatah 'di mana bumi di pijak di situlah langit dijunjung'.
"Saya menyeru warga PDRM amnya dan PGU khususnys untuk terus bersemangat serta menanam tekad untuk berkhidmat dengan penuh komited dan dedikasi demi menjaga keselamatan, kesejahteraan rakyat dan keamanan negara", ujarnya merasmikan sambutan Hari Ulang Tahun PGU ke-44 di @Pusat Latihan PGU di sini, pagi tadi.
Bermula dengan kekuatan seramai 48 pegawai dan anggota polis pada 1 Februari 1979, PGU yang ketika itu dikenali sebagai Unit Udara Polis di bawah penyeliaan seorang Komander berpangkat DSP telah menjalani beberapa evolusi seiring dengan fungsi serta tugasnya yang semakin mencabar.
Kini, PGU di bawah Komander, DCP Dato' Noor Sham Md Jani mempunyai kekuatan seramai 644 pegawai dan anggota yang bertugas tanpa mengira waktu serta ketika memantau keselamatan negara dari udara, selain memberikan bantuan kecemasan seperti penerbangan ihsan dengan memindahkan mangsa banjir termasuklah "medical evacuation".
Menurut Dato' Sri Ayob Khan lagi, PGU sentiasa mengorak langkah seiring dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi apabila wujudnya Unit Dron bagi membantu pelbagai jabatan dalam PDRM menjalankan operasi harian.
Lebih membanggakan beliau, apabila Unit Dron PDRM telah dijadikan sumber rujukan agensi-agensi kerajaan dan swasta bagi urusan berkaitan dron.
"Malah, saya difahamkan Ketua Unit Dron PDRM, ACP Rasha Azaldin Shafii dipanggil oleh pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia untuk membantu menyediakan rangka undang-undang dan peraturan bagi pengoperasian dron di negara kita. Syabas dan tahniah diucapkan!", ujar beliau.
Dalam majlis gilang-gemilang tadi, Dato' Sri Ayob Khan turut berbesar hati menyematkan lencana Sayap Juruterbang PGU kepada 12 pegawai yang selesai menamatkan kursus juruterbang no.19 siri 1/2021, manakala 12 anggota pula disematkan lencana Sayap Pemerhati Udara.
Daripada jumlah tersebut, PGU mencatat lembaran baharu apabila empat pegawai yang ditauliahkan menjadi juruterbang Pasukan adalah terdiri daripada pegawai wanita. Mereka ialah Inspektor Siti Nabilah Abdullah, Inspektor Nur Hidayah Mohd Aisa, Inspektor Yeoh Yee Chee dan Inspektor Wan Aulia Hami Fariheen Wan Azulkefeli.
Dato' Sri Ayob Khan berkata, dengan penyematan lencana Sayap Juruterbang dan Sayap Pemerhati Udara PGU itu, kesemua pegawai dan anggota yang telah ditauliahkan layak untuk menjalankan tugas operasi penerbangan bersama krew penerbangan Pasukan sedia ada.
Dalam majlis sama, Dato' Sri Ayob Khan turut dianugerahkan lencana Sayap Kehormat Juruterbang PGU sebgai tanda penghargaan Pasukan kepada pucuk pimpinan PDRM. Penghormatan itu disempurnakan oleh Dato' Noor Sham sendiri.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Dato' Seri Sahabudin Abd Manan, Pengarah
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik , CP Dato' Sri Mat Kasim Karim, Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (Gerakan), Bukit Aman, CP Dato’ Mohd Hishamudin Tahar, Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (Pasukan Gerakan Am), Bukit Aman, DCP Dato’ Muhammad Abdul Halim dan Timbalan Ketua
Polis Perak, DCP Dato' Pahlawan Azizi Mat Aris.