Kuala Lumpur, 20 September 2023 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Datuk Seri Dr. Hj. Mazlan Lazim selaku Penaung
Yayasan Seri Negara dan Ustaz Ahmad Talmizi Yahaya selaku Pengurus Bahagian Agihan Zakat
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) kerana menyantuni warga Ibu Pejabat
Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur (KL).
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili KPN, IG Tan Sri Razarudin Husain dalam Majlis Sumbangan Amal Yayasan Seri Negara yang berlangsung di Foyer A, IPK KL, petang tadi.
Dalam majlis tersebut, Yayasan Seri Negara dan MAIWP telah menyantuni warga IPK KL dan menyumbangkan sebanyak 1,050 bakul makanan asas, peralatan kesihatan antaranya 30 batang tongkat, 21 buah kerusi roda dan 12 buah katil pesakit.
Dato’ Sri Ayob khan berharap sumbangan yang diberikan dapat membantu dan memberi keceriaan kepada para penerima.
"Saya turut mendoakan semoga tuan-tuan dan puan-puan terus diberi kekuatan untuk menempuhi ujian dalam kehidupan dan percayalah bahawa Allah SWT tidak akan menguji hamba-Nya kecuali sesuai dengan kemampuan kita," ujar beliau lagi.
Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Seri Negara, Dato' Abdul Aziz Ismail, Ketua Polis (KP) KL, CP Dato’ Allaudeen Abdul Majid, Timbalan KP KL, DCP Dato’ Azry Akmar Dato’ Hj. Ayob, para pegawai dari MAIWP dan Yayasan Seri Negara serta rakan-rakan media.