Petaling Jaya, 21 September 2023 - Perkenalan dalam media sosial antara modus operandi digunakan penjenayah untuk memerangkap kanak-kanak berusia di bawah 16 tahun sebagai mangsa jenayah kes luar tabii termasuk liwat.
Rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, peringkat umur di bawah 16 tahun paling ramai menjadi mangsa kes luar tabii termasuk kes liwat dengan melibatkan 407 orang bagi tahun
2018 sehingga 31 Ogos lalu.
Dalam tempoh sama juga, turut menjadi mangsa iaitu seramai 136 orang kanak-kanak berusia diantara 16 tahun sehingga 18 tahun ke atas.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam tempoh lima tahun mengikut kontinjen seluruh Malaysia sejak 2018 sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 543 kes disiasat melibatkan kes luar tabii termasuk kes liwat.
Kata beliau, Selangor mencatatkan jumlah kes paling tinggi iaitu sebanyak 167 kes pada tempoh berkenaan diikuti Kuala Lumpur (83 kes), Johor (72 kes), Sabah (43 kes), Kedah (45 kes), Pahang (38 kes) dan Perak dengan 32 kes serta lain-lain negeri.
“Kanak-kanak berusia di bawah 16 tahun ini berisiko menjadi mangsa jenayah kerana keupayaan mental mereka yang muda ini tidak mampu membezakan sesuatu maklumat melalui media ini sama ada baik atau buruk.
Melalui media sosial sahaja sudah cukup untuk penjenayah ini berkenalan dengan berkomunikasi secara seksual selain merayu dan memberikan hadiah atau ganjaran yang mendorong kanak-kanak ini tertarik dengan aktiviti seksual.
“Akhirnya berjaya mendorong mangsa berjumpa dan berkongsi gambar tubuh badan atau bahagian-bahagian badan yang sulit sebelum gambar-gambar ini digunakan oleh suspek untuk mengugut mangsa bagi tujuan habuan seks dan pemerasan wang serta barang berharga,” katanya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan
Utusan Malaysia seperti di lampiran.