Menu

KERATAN AKHBAR PILIHAN: PEKERJA WANITA DIDERA DAN DIPERKOSA TIDAK DIBAYAR GAJI

Petaling Jaya, 1 Oktober 2023 - Didera, tidak dibayar gaji malah diperkosa antara kes pemerdagangan manusia dikesan Polis Diraja Malaysia di negara ini apabila seramai 1,179 individu dieksploitasi sindiket atau majikan bagi tujuan seks atau buruh paksa sejak 2021 hingga Ogos lalu.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Fadil Marsus berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 183 kes melibatkan buruh paksa manakala 112 kes lagi berkaitan eksploitasi seks.

Katanya, selain itu, sebanyak 18 kes membabitkan lain-lain kes menyalahi undang-undang antaranya jual bayi dan kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang muda (Pekerjaan) 1966 serta satu kes pengabdian.

Jelas beliau, walaupun kes pemerdagangan manusia di negara ini masih terkawal, isu kerja paksa perlu diberi penekanan kerana ia dilihat trend jenayah pemerdagangan baharu terutamanya melibatkan pembantu rumah di negara ini.

“Ini kerana ada segelintir kes membabitkan pembantu rumah tidak dibayar gaji dan didera mental dan fizikal.

“Malah ada antara mereka turut menjadi mangsa rogol oleh majikan.

“Selain itu, ada majikan yang mengehadkan kebebasan dan pergerakan, memegang dokumen peribadi selain mengancam atau mengugut mangsa-mangsa ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Utusan Malaysia seperti di lampiran.

May be an image of 1 person and text
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS