Kuala Lumpur, 4 Oktober 2023 - Lembaga Pengurus Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) melantik Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain sebagai Ahli Tetap berkuatkuasa hari ini.
Penyerahan surat lantikan kepada Tan Sri Razarudin disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr.
Shamsul Anuar Hj. Nasarah selaku Pengerusi Lembaga Pengurus TAWP di Bukit Aman pagi tadi.
Dua
Ahli Tetap lain yang dilantik turut menerima surat lantikan iaitu Ketua Setiausaha (KSU)
Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Hj. Ruji Hj. Ubi yang diwakili oleh Timbalan KSU (Keselamatan) KDN, Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman dan Pengarah
Pengurusan, CP Dato' Sri Azmi Abu Kassim.
TAWP yang ditubuhkan melalui Suratcara Amanah pada 14 September 1992 bertujuan membantu hal-hal kebajikan pegawai dan anggota polis yang telah bersara termasuk tanggungan mereka. Antara bantuan yang dihulurkan TAWP termasuklah khairat kematian, perubatan, pendidikan dan bencana alam.
Terdahulu, Tan Sri Razarudin bersama timbalannya, DIG Dato' Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengurus TAWP yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar dekat Bilik Mesyuarat KPN di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, di sini.
Antara input yang dibincangkan ialah pembentangan laporan dan penyata kewangan, pengesahan minit mesyuarat lepas serta beberapa perkara berbangkit yang memerlukan tindakan Ahli Lembaga.
Yang turut hadir, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), DCP Gilberd Philip Layang dan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara) merangkap Setiausaha TAWP, SAC Zailanni Amit.