Kuala Lumpur, 5 Oktober 2023 - "Scammer" datang lagi dan kali ini, taktiknya cukup mudah iaitu menggodam aplikasi Telegram sebelum mengirim mesej ‘Bantuan Rakyat-Sumbangan Asas Rahmah’ kepada orang ramai dan kenalan akaun pengguna yang digodam itu secara rawak.
Hasilnya, polis sudah menerima 22 laporan polis berkaitan Bantuan Rakyat-Sumbangan Asas Rahmah membabitkan kerugian RM1,259.41.
Itu taktik terkini sindiket penipuan yang cuba memperdayakan mangsa dengan menghantar pautan bantuan sumbangan Rahmah kononnya daripada kerajaan untuk diisi sebelum wang simpanan yang ada di dalam bank mangsa ‘disedut’.
Mangsa yang teruja, terutama dalam kalangan B40, menyangka layak menerima bantuan sedangkan tanpa sedar, mereka mengikut arahan sindiket sebelum akhirnya terpedaya dengan wang simpanan pula lesap.
Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil - JSJK PDRM,CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada 22 laporan polis yang diterima, 21 kes membabitkan akaun digodam dan satu kes membabitkan mangsa terpedaya sebelum kerugian apabila wang simpanan di bank lesap.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihati supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan mesej berkaitan pakej bantuan kerajaan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Harian Metro seperti di lampiran.