Kuala Lumpur, 8 Oktober 2023 - Semua Ketua Polis Daerah (KPD) diarah untuk menjadi pegawai penjaga dan melawat lokap di kawasan pentadbiran masing-masing sekurang-kurangnya empat kali sehari.
Ketua Polis Balai (KPB) pula menjadi penolong pegawai penjaga lokap dan perlu melawat lokap lebih daripada KPD.
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain berkata, pegawai penyiasat juga perlu sentiasa melawat lokap yang terdapat orang kena tahan (OKT) bagi kes dikendalikannya.
Menurutnya, arahan itu dibuat untuk memastikan OKT terjaga, tidak berlaku tindakan bunuh diri atau pergaduhan sesama OKT di dalam lokap.
Katanya, jika KPD, KPB dan pegawai penyiasat dapat melakukan lawatan seperti arahan itu dan boleh mencapai 24 kali sehari, tentunya tiada kejadian buruk boleh berlaku kerana ada pemeriksaan setiap satu jam.
"Ia boleh mengelak daripada berlakunya kejadian tahanan mati dalam lokap," katanya.