Kuala Lumpur, 9 Oktober 2023 - Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain menegaskan penurunan indeks jenayah tidak boleh dianggap satu kejayaan bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika rakyat masih rasa tidak selamat dan dalam ketakutan terhadap jenayah.
Berikutan itu, beliau menyarankan setiap pegawai dan anggotanya berusaha bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas demi menghilangkan rasa ketakutan "fear factor"
masyarakat di lapangan terhadap jenayah.
Tan Sri Razarudin berkata, kadar indeks jenayah menurun 40 peratus dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sekali gus menunjukkan pasukan polis berjaya mengekalkan keadaan keselamatan negara pada tahap yang baik.
“Meskipun kadar indeks jenayah mencatatkan penurunan sebanyak 40 peratus tahun ini, namun rasa selamat dalam kalangan masyarakat yang perlu diutamakan.
“Pada saya, penurunan kadar jenayah ini tidak menjadi signifikan, sebaliknya yang saya perlu tekankan adalah (hilangkan) “fear factor” (faktor ketakutan) masyarakat di lapangan.
“Itu lebih penting berbanding jumlah penurunan indeks jenayah. Sebagai contoh peningkatan jenayah satu peratus, tetapi “fear factor'' ada 30 peratus, kita ambil ketakutan itu lagi mustahak.
“Kalau kita kata kadar jenayah turun 78 peratus, tetapi masyarakat masih mengatakan bahawa polis tak buat kerja dan mereka masih berasa takut, sebenarnya kita berjaya atau tidak?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika dikunjungi pengurusan kanan Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) di Bukit Aman, baru-baru ini.
Bacaan lanjut menerusi keratan akhbar terbitan
Berita Harian seperti di lampiran.