Georgetown, 12 Oktober 2023 - Sungguhpun berhadapan dengan seribu satu ancaman,
Pasukan Polis Marin (PPM) terus unggul dengan kecekapan dan kewibawaan warganya dalam menghadapi pelbagai cabaran demi menjaga kedaulatan perairan serta keselamatan sempadan negara.
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan bahawa PPM merupakan salah satu nadi kekuatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang
bernaung di bawah
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), yang berperanan mengawal sempadan perairan negara di samping membanteras jenayah rentas sempadan.
“Suka untuk saya kongsikan, sepanjang 100 hari saya menerajui Pasukan keramat ini bermula 23 Jun sehingga 30 September 2023, sejumlah 2,417 kes melibatkan kesalahan penyeludupan kontraban, migran, khazanah negara dan dadah berjaya dikesan oleh PPM seluruh negara melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM61,054,228.24 dengan tangkapan seramai 1,243 orang. Hal ini jelas menunjukkan bahawa PPM tidak berkompromi terhadap individu yang melanggar undang-undang negara.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga PPM di atas kejayaan yang cukup membanggakan ini. Besarlah harapan saya agar lebih banyak kejayaan dapat diukir oleh warga PPM demi memastikan kedaulatan perairan negara terus terpelihara," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Peringatan Hari Polis Marin ke-76, di sini, pagi tadi.
Sambutan tersebut telah dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama oleh KPN yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Baris, DSP Abd Wahab Daud dengan dibantu Penolong Pegawai Pemerintah Baris, ASP Syed Hafiz Abd Bahrin dan disertai seramai 192 pegawai serta anggota termasuk pembawa Panji-panji PPM, Inspektor Muhammad Mujaddid Azman Shah.
Majlis sambutan kemudiannya disusuli dengan penyampaian Sijil Penghargaan KPN kepada 32 penerima dari seluruh wilayah marin dalam Kontinjen PDRM.
Dalam majlis yang sama, ASP Amran Che Mat Noor dan Sub Inspektor Nik Shamsul Kamar Abd Shukor dari PPM Wilayah 3 telah menggalas tanggungjawab untuk menyampaikan sajak bertajuk 'Perjuangan Pasukan Polis Marin'. Tidak ketinggalan juga, "fleet review" kapal bersama bot ronda PPM yang diketuai oleh DSP Hazri Zakaria di Jeti Markas PPM Wilayah 1 sebagai acara kemuncak sambutan tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP)
Malaysia, Puan Sri Zainah Othman, Ketua Polis
Pulau Pinang, CP Dato' Khaw Kok Chin, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad, DCP Gerakan Jabatan KDNKA Bukit Aman, DCP Dato' Hj. Mohd Yusoff Mamat, Komander PPM, SAC Norzaid Muhammad Said, Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Khas, Jabatan KDNKA Bukit Aman, SAC Anuar Rosdi, Ketua Penolong Pengarah (Persenjataan) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, SAC Abdul Jalil Salim, barisan komander Jabatan KDNKA, ahli-ahli PERKEP, bekas-bekas Komander PPM dan rakan-rakan media.