Kuala Lumpur, 15 Oktober 2023 – Sempena sambutan Hari Sukan Negara (
#HSN2023) yang diadakan secara serentak seluruh negara pagi tadi, Persatuan Keluarga Polis Malaysia (
PERKEP) juga tidak ketinggalan menyambutnya dengan menganjurkan pertandingan menembak yang berlangsung di Lapang Sasar
Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am, Cheras, di sini.
Ia dimeriahkan dengan kehadiran Duli Yang
Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang berkenan bercemar duli menyertai pertandingan. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi PERKEP Malaysia selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Puan Sri Zainah Othman dan barisan Pengerusi PERKEP Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Seramai 150 peserta terdiri daripada jabatan dan kontinjen PDRM telah mengambil bahagian dalam dua kategori yang dipertandingkan iaitu 'Falling Plate' serta 'Centre Fire'.
Bagi acara 'Falling Plate', Johan dimenangi oleh Pasukan Istana, manakala Naib Johan disandang oleh Pasukan PERKEP Malaysia dan tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan PERKEP Kontinjen
Sabah.
Sementara itu, bagi acara 'Centre Fire' individu menyaksikan ASP Kamsiah Kasmuddin dari PERKEP
Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti selaku johan, ASP Noor Sahara Ngah @ Mokhtar dari PERKEP Kontinjen
KL sebagai naib johan serta tempat ketiga dimenangi oleh Sarjan Erma Fawira Ilias daripada PERKEP Kontinjen
Terengganu. Bagi penembak terbaik telah disandang oleh ASP Suriyantee Abd Hamid dari PERKEP Kontinjen
Pulau Pinang.
Hadiah-hadiah kemenangan telah disampaikan oleh baginda kepada para pemenang dalam kategori masing-masing.
Penganjuran acara berkenaan bukan sahaja dapat menguji kemahiran menembak masing-masing, malah ia juga menyahut saranan kerajaan supaya bersama-sama menjalani gaya hidup sihat.
Turut hadir, isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin, isteri Bendahara Perak, Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Rasiah Md Nor, isteri Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datin Aznee Abu Samah, barisan Pengerusi PERKEP Kontinjen, ahli-ahli PERKEP dan pegawai kanan PDRM.