Ipoh, 18 Oktober 2023 - Pasukan
Ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini berjaya mara ke peringkat akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong 2023 selepas menewaskan Pasukan Ragbi Sabah 27-17 di Stadium Ragbi Ipoh, dekat sini.
Kemenangan bergaya PDRM itu sekaligus memusnahkan impian Sabah untuk beraksi ke pentas final menentang Putrajaya pada Sabtu depan.
Pasukan bimbingan Ketua Jurulatih yang juga bekas jurulatih kebangsaan, Samuel Rupert Firth Jackson tidak mudah mengalah dengan pasukan lawan walaupun ketinggalan 14-7 di separuh masa pertama.
Sebaik separuh masa kedua bermula, PDRM menggandakan asakan dan mempelbagaikan 'serangan taktikal' di bawah Kapten, K. Dinesvaran atau lebih dikenali sebagai 'Duke' untuk menyumbang mata.
Permainan PDRM semakin rancak apabila dapat menjarakkan jurang mata dengan Sabah hasil daripada sumbangan pemain, Mohd Nurazman Ramli dan Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi.
Sebagai rekod, kejohanan edisi 2023 kali ini meletakkan PDRM telah diundi dalam Kumpulan B bersama
Angkatan Tentera Malaysia dan Pahang serta dinobat tempat ketiga dalam kejohanan tahun lalu.
Mengulas lanjut kejayaan PDRM yang layak memasuki peringkat akhir kejohanan, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah
Putrajaya selaku Penolong Pengurus Pasukan Ragbi PDRM, DSP Ana Mohamed yakin PDRM mampu menamatkan penantian 32 tahun untuk menjulang trofi Piala Agong 2023.
"Tahniah diucapkan kepada Pasukan (PDRM) yang telah bekerja keras dan berusaha mengikut taktikal perlawanan yang diberikan oleh Ketua Jurulatih sehingga menang di peringkat separuh akhir dan layak ke peringkat akhir nanti."
"Harapan tinggi untuk kami menjulang Piala Agong pada edisi kali ini, selepas 32 tahun", ujar beliau sambil disambut sorakan gemuruh atlet-atlet ragbi PDRM.
Bagi pihak seluruh warga Pasukan, kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pasukan Ragbi PDRM atas kejayaan mara ke peringkat akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi 2023. Semoga PDRM dapat mencatat sejarah kegemilangannya dalam arena sukan ragbi negara pada tahun 1983 dan 1985 lalu.
Selamat maju jaya Pasukan Ragbi PDRM!
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.