Menu

KERATAN AKHBAR PILIHAN: POLIS REMAN EMPAT SUSPEK UBAH WANG HARAM BERKAITAN KES i-SERVE DAN MYAIRLINE

Kuala Lumpur, 28 Oktober 2023 - Empat suspek yang ditahan kelmarin bagi siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan syarikat pelaburan i-Serve dan MYAirline, direman antara sehari hingga empat hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato' Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek wanita berusia 30 tahun direman empat hari, manakala seorang lagi wanita berusia 33 tahun direman tiga hari.

"Reman ke atas suspek lelaki berusia 48 tahun juga dibenarkan selama tiga hari dan reman suspek keempat, lelaki berusia 62 tahun yang juga peguam di i-Serve dibenarkan selama satu hari.

"Sementara itu, tempoh reman ke atas suspek keempat yang ditahan pada 23 Oktober lalu disambung empat hari lagi, selepas tempoh reman lima hari ke atasnya tamat hari ini," katanya semalam.

Dato' Sri Ramli berkata, semua suspek direman bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau berkata, empat suspek yang ditahan semalam dipercayai orang kepercayaan suspek utama dalam menggerakkan operasi beberapa syarikat yang disiasat berkait kes pengubahan wang haram.

Dato' Sri Ramli berkata, tiga tangkapan dibuat di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini antara jam 1 hingga 1.30 tengah hari, kelmarin, manakala seorang lagi ditahan di Bukit Tunku di sini.

Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti di lampiran.

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS