Kuala Lumpur, 31 Oktober 2023 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan mengurniakan Darjah Kepahlawanan dan Pingat Pasukan Polis kepada 309 penerima di Balairung Seri, Istana Negara, pagi tadi.
Istiadat sesi
pertama Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis (DKPP) dan Pingat Keberanian Polis (P.K.P.) Tahun 2023 menyaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay mendahului senarai penerima apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Pangkat Pertama Panglima Gagah Pasukan Polis (P.G.P.P.).
Pada istiadat itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan darjah kebesaran sama secara kehormat kepada Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato' Paduka Seri Hj. Mohammad Irwan Hj. Hambali dan Police Commissioner General of the Royal Thai Police, Police General Torsak Sukvimol.
Dalam DKPP tahun ini juga, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Pangkat Kedua Panglima Setia Pasukan Polis kepada 58 penerima, Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga Pahlawan Pasukan Polis (88 penerima), Darjah Kebesaran Pangkat Keempat Kesatria Pasukan Polis (17 penerima) dan Darjah Kebesaran Pangkat Kelima Bentara Pasukan Polis (138 penerima).
Pengurniaan DKPP dan P.K.P. kepada pegawai dan anggota Polis yang layak adalah sebagai manifestasi penghargaan daripada pihak Kerajaan khasnya Pasukan atas jasa serta pengorbanan yang telah mereka curahkan selama ini.
Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail bersama isteri, Datin Seri Norhayati Musa, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain bersama isteri selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (
PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman, Timbalan MDN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah bersama isteri, Datin Seri Hamisah Hussin, Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri, Datuk Hj. Ruji Hj. Ubi bersama isteri, Datin Kamariah Abd. Rahman dan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, SAC Datin Sri Dato' Zalena Mohd Ariffin.