Petaling Jaya, 31 Oktober 2023 - Produk inovasi Polis Diraja Malaysia sekali lagi mendapat perhatian masyarakat dengan pengenalan aset logistik terbaharu milik Pasukan yang diilhamkan oleh Ketua
Polis Johor, CP Dato' Kamarul Zaman Mamat iaitu Balai Polis Bergerak dengan litar tertutup (CCTV).
Balai Polis Bergerak CCTV yang sarat dengan teknologi moden itu merupakan inisiatif kerjasama di antara Polis Johor dengan Syarikat
Celcom Axiata Berhad yang telah dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Johor.
Permulaan projek inovasi Pasukan itu telah dilaksanakan sebelum ini dengan menempatkannya di beberapa kawasan tumpuan orang ramai dan laluan masuk pintu sempadan negara Malaysia dengan Singapura bersama kekuatan seorang Pegawai Kanan serta enam anggota Polis.
Antara fungsinya adalah sebagai satu kaedah pencegahan jenayah dengan menggunakan konsep perang psikologi bagi menimbulkan rasa takut di kalangan penjenayah apabila adanya kamera rakaman 360 darjah. Di samping itu juga, balai tersebut dilengkapi dengan sistem pintar yang boleh mengesan imej dan nombor pendaftaran kenderaan serta carian pintar menggunakan teknologi "Artificial Intelligent Camera".
Bagi memastikan keampuhan keberkesanannya, Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman sedang menjalankan ujicuba untuk mengkaji keberkesanan fungsi dan persepsi masyarakat terhadap balai polis pintar tersebut.
Kajian ujicuba yang bermula di beberapa lokasi dekat Digital Mall dan Stesen Pam Minyak Shell Damansara Damai dalam Kontinjen Selangor dan Bukit Bintang serta Jalan Petaling di ibu kota akan berakhir sehingga 15 November depan.
Masyarakat adalah dialu-alukan untuk menyatakan sebarang pandangan melalui borang soal selidik yang boleh diperolehi secara mengimbas "QR Code" yang ditempatkan di balai polis berkenaan.