Bukit Mertajam, 5 November 2023 - Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah sebuah kereta curi yang dinaiki seorang lelaki di Jalan Taman Bukit Indah di sini, Khamis lalu.
Dalam insiden kira-kira jam 8.50 malam itu, anggota dari Balai Polis Hi-Tech, Kulim, Kedah yang menaiki kereta peronda (MPV) mendapati kereta Proton Wira dari kawasan kilang berhampiran berada dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah
SEBERANG PERAI TENGAH, ACP Tan Cheng San berkata, pihaknya kemudian mendapat panggilan sekitar jam 9.30 malam memaklumkan suspek bertindak memecut kereta dinaikinya ke arah Bukit Mertajam.
Bagaimanapun, katanya, ketika sampai di Jalan Taman Bukit Tambun, dekat sini suspek berusia 20-an itu memasuki kawasan jalan mati sebelum diarahkan polis untuk menyerah diri.
“Tetapi dia enggan dan membuat pusingan-U sebelum sekali lagi memecut kereta ke arah anggota MPV dan melanggar bahagian hadapan MPV polis.
“Bagi mempertahankan diri, anggota MPV terpaksa melepaskan dua das tembakan dan terkena pada tayar hadapan kereta suspek menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.