Ipoh, 8 November 2023 - Menjangkau usianya yang telah melepasi separuh abad, selama 54 tahun unit elit 69 Komando terus berjuang mempertaruhkan nyawa dan menyumbang bakti demi memastikan kedaulatan serta keamanan tanah air kekal terpelihara.
Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Seri Panglima
Ayob Khan Mydin Pitchay, mengimbas kembali sejarah 69 Komando, unit
elit yang telah diilhamkan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Dato’ Abdul Rahman dan ditubuhkan pada 23 Oktober 1969.
“Penubuhan unit ini adalah bagi menentang ancaman pengganas komunis dengan menggunakan konsep perang gerila. Bermula dengan satu terup pada tahun tersebut, kemudiannya berkembang membentuk Batalion 69 Komando Pasukan Polis Hutan sehinggalah kini, ia dikenali sebagai 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Ulang Tahun 69 Komando kali ke-54, di Kem Sultan Nazrin Shah, 69 Komando, Ulu Kinta, Perak, pagi tadi.
Tambah beliau, insiden pencerobohan oleh kumpulan bersenjata Sulu di Lahad Datu, Sabah serta penahanan beberapa individu berkait aktiviti keganasan daripada kumpulan militan, adalah bukti bahawa masih lagi wujud anasir-anasir yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengganggu gugat kedaulatan negara.
Justeru, kesiapsiagaan diri dalam ilmu peperangan khas serta komitmen yang tinggi daripada warga 69 Komando amatlah diperlukan, sebagai persediaan untuk diatur gerak di mana jua dan pada bila-bila masa sekali pun.
“Saya menyeru kepada semua warga VAT 69 agar tidak mudah leka atau bersikap puas hati atas pencapaian yang telah dikecapi sebelum ini. Lengkapkanlah diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan, kecekapan dan kemahiran melalui program-program latihan serta kursus untuk melahirkan "high value individuals" dalam unit ini. Jadikanlah kejayaan yang lalu sebagai pendorong serta pembakar semangat untuk kita terus maju dan lebih cemerlang lagi di masa hadapan,” katanya.
Dato’ Seri Panglima Ayob Khan juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) 69 Komando yang berdiri teguh di belakang para suami yang sentiasa sibuk dengan penugasan masing-masing.
Beliau berharap agar warga 69 Komando terus menjunjung semangat juang ‘Warisan Darah Perwira’ serta “esprit de corps” yang tinggi dan mendoakan semoga keluarga besar 69 Komando sentiasa dilindungi dan dijauhkan dari segala mara bahaya.
Dalam majlis tersebut turut diadakan penganugerahan Beret Kehormat 69 Komando kepada DIG Dato’ Seri Panglima Ayob Khan dan pentauliahan 36 peserta Kursus Asas 69 Komando Siri 1/2023 yang telah berjaya menamatkan latihan.
Majlis diserikan lagi dengan penyematan lencana Sayap Payung Terjun Para Bebas kepada Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Dato’ Seri Mohd Suhaily Mohd Zain dan penganugerahan lencana Sayap Kehormat Payung Terjun kepada Pengarah Cawangan Khas, CP Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail serta Komander
Pasukan Polis Marin, SAC Norzaid Muhammad Said.
Hadir sama, Naib Pengerusi
PERKEP Malaysia, SAC Datin Seri Dato’ Zalena Mohd Ariffin, Pengarah
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Sri Hazani Ghazali dan isteri, Pengerusi PERKEP Jabatan KDNKA, Datin Sri Fadziah Hj. Abdul Hamid, Pengerusi PERKEP JSJ, Datin Sri Ennie Salina Roseli, Ketua
Polis Perak, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hassan Basri, Komander 69 Komando merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, SAC Hamzah Hashim bersama isteri, Pengerusi PERKEP 69 Komando, Puan Roszairol Haliza Shariff dan barisan veteran 69 Komando.