Cheras, 16 November 2023 - Aspek integriti pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pematuhan menyeluruh Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 antara isu utama yang disampaikan pada Persidangan Pesuruhjaya Polis (PJP)/Ketua Polis (KP)/Komander dan Komandan Bilangan 2 Tahun 2023 yang berlangsung sehari, bermula pagi tadi.
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain berkata, nilai integriti merupakan indikator terpenting dalam aspek keperibadian seseorang penjawat awam yang memegang amanah rakyat dan ia adalah selari dengan ikhtiar yang diilhamkan oleh pucuk pimpinan negara melalui konsep Malaysia Madani yang berteraskan nilai, etika serta akhlak.
"Kerajaan juga sangat menekankan elemen tata kelola dan penyampaian perkhidmatan terbaik, untuk memperkukuh serta melaksanakan pembaharuan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.
"Untuk itu, isu integriti, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa akan terus diberi perhatian, memandangkan kita (warga PDRM) masih lagi terpalit krisis imej dan persepsi yang tidak berkesudahan khususnya berkait rasuah," ujar beliau sewaktu menyampaikan amanat dalam persidangan yang berlangsung dekat
Maktab PDRM Kuala Lumpur, di sini pagi tadi.
Beliau turut mengingatkan semua pucuk pimpinan Pasukan bahawa tugas untuk memantapkan nilai integriti di kalangan warga Pasukan bukan hanya terletak pada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard
PDRM, malah ia melibatkan semua pihak khususnya pegawai penyelia di setiap peringkat.
"Ketegasan penyeliaan melalui kaedah 'close monitoring' amat mustahak untuk mengecilkan segala kelompongan berlakunya salah laku.
"Menyedari akan kelemahan penyeliaan yang perlu ditangani, saya telah mengeluarkan Arahan KPN nombor 191 iaitu 'Total Enforcement' ke atas Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bertarikh 26 Ogos 2023 perlu dipatuhi tanpa gagal," tegas beliau.
Tan Sri Razarudin turut menyinggung peranan telus Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah yang dilihat mampu menjadi sebuah instrumen atau mekanisme berkesan untuk menyelia serta mengawasi aspek tatatertib warga Pasukan.
Sementara itu, Tan Sri Razarudin juga melahirkan keazaman beliau untuk menaik taraf Maktab PDRM Kuala Lumpur menjadi hub penyelidikan meliputi semua aspek dalam bidang kepolisan dengan tidak hanya bergantung kepada penyelidikan daripada universiti tempatan atau antarabangsa sahaja.
"Ia bukan sahaja dapat dijadikan sebagai rujukan kepada warga Pasukan, malah memberi manfaat kepada semua. Sebagai contoh, mewujudkan 'Centre of Drugs and Scams Studies in ASEAN Region," katanya.
Persidangan kali ini merupakan yang julung kali dipengerusikan oleh Tan Sri Razarudin selepas dilantik menjadi KPN ke-14 pada 22 Jun 2023 lalu.
Yang turut hadir, Timbalan KPN, DIG Dato' Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan PDRM, Setiausaha Polis Malaysia selaku pengerusi jawatankuasa penganjur, DCP Alzafny Ahmad, Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, DCP Dato' Pahlawan Anuar Othman dan barisan Ketua Urus Setia KPN.