Cheras, 23 November 2023 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain petang tadi hadir menyempurnakan Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C Sempena Sambutan Bulan Integriti Tahun 2023 dekat Dewan Sultan Hj. Ahmad Shah,
Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kuala Lumpur, di sini.
Tema sambutan pada tahun ini iaitu “Integriti
Citra Malaysia Madani” adalah merupakan manifestasi usaha untuk menzahirkan komitmen Kerajaan dalam membudayakan tata kelola berintegriti di semua sektor awam termasuk PDRM.
Majlis yang turut diadakan secara telesidang bersama semua Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis Negeri itu telah dimulakan dengan bacaan Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai sendiri oleh Tan Sri Razarudin dan seterusnya taklimat pelaksanaan Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 oleh Ketua Penolong Pengarah Siasatan/Perundangan/ Kajian Kes, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, SAC Mohd Ismail Muslim.
Dalam amanat yang disampaikan tadi, Tan Sri Razarudin menyatakan bahawa kempen tersebut menjadi platform untuk mempromosikan nilai integriti, moral dan etika dalam kalangan warga kerja PDRM, sekali gus meningkatkan lagi penghayatan, pemahaman dan pembudayaan amalan integriti.
“Selain menangani isu-isu berkaitan pelanggaran integriti dan persepsi negatif masyarakat terhadap PDRM, ketegasan dalam pemantauan dan penyeliaan menggunakan kaedah "close monitoring" terhadap warga Pasukan adalah pilihan yang terbaik. Berdasarkan kepada prinsip akauntabiliti, penyeliaan dan pemantauan harus dilaksanakan dengan bertunjangkan Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sebagai mekanisme "check and balance".
“Ketua Jabatan, Pegawai Pemerintah dan penyelia perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan kawalan serta pemantauan ke atas pegawai dan anggota yang diselia. Mereka perlu bertanggungjawab serta cakna terhadap segala tingkah laku pegawai bawahan masing-masing dengan sering membuat perjumpaan, memberi teguran dan nasihat serta mengambil tindakan yang sewajarnya jika perlu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana Pegawai Penyelia yang didapati gagal dalam penyeliaan. Usaha ini adalah demi memastikan keutuhan dan integriti sebagai Pegawai Polis dapat ditingkatkan, sekali gus memelihara dan menjaga imej serta nama baik Pasukan,” ujarnya jua.
Dalam majlis tadi, Tan Sri Razarudin turut berbesar hati untuk menyampaikan Surat Penghargaan Tolak Rasuah kepada kepada 29 orang Pegawai Polis sebagai menghargai tindakan mereka dalam melaporkan pemberian serta penerimaan rasuah.
Hadir sama, CP Dato’ Sri Azri Ahmad, Pengarah JIPS selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad serta para pegawai kanan.