Chukai, 2 Disember 2023 - Polis membuka kertas siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan membabitkan 3R (agama, bangsa dan raja) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu
dilakukan mengikut Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mencetuskan keadaan tidak harmoni.
Bercakap pada sidang media selepas melakukan tinjauan di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, di sini hari ini, beliau berkata, siasatan itu dijalankan susulan satu laporan polis yang dibuat terhadap Muhyiddin di sebuah balai polis di sini, Jumaat lalu.
Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU pada satu ceramah perdana di sini, antara lain didakwa mengeluarkan 'fatwa' harus untuk ahli UMNO meninggalkan parti itu dan mereka yang berbuat demikian boleh mendapat ganjaran pahala hijrah seperti zaman Rasulullah SAW.
Dalam pada itu, Dato' Sri Ayob Khan turut mengingatkan semua penyokong parti tidak mengadakan sebarang perhimpunan ataupun perarakan pasca pilihan raya supaya tidak menimbulkan gangguan kepada ketenteraman awam.
"Polis akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam semasa pasca pilihan raya nanti," katanya.