Menu

DELEGASI POLRI ADAKAN SIRI LAWATAN RASMI KE KOMPLEKS PENTADBIRAN DAN LATIHAN PDRM

Kuala Lumpur, 16 Disember 2023 - Delegasi Kepolisian Negara Republik Indonesia (POLRI) mengadakan siri lawatan rasmi selama lima hari ke Kompleks Pentadbiran dan Latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meliputi Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman dan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur bermula 11 Disember lalu dan berakhir pada hari ini.

Antara Intipati utama siri lawatan yang diketuai oleh ketua delegasi POLRI, Kombes Polisi Kolestra Siboro, S.H Kobagkoorprog Romerma KI Sops POLRI itu adalah bagi menghadiri Mesyuarat Technical Working Group Joint Police Cooperation Committee Malaysia-Indonesia yang berlangsung pada 13 Disember lalu di Bilik Mesyuarat Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Latihan/Peperiksaan/Kompetensi) Bukit Aman, SAC Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar itu telah membincangkan tentang senario dan persiapan Latihan Bersama (LATMA) Aman Malindo yang dijangka diadakan pada tahun 2025, di mana kali terakhir ia dianjurkan pada tahun 2008 di Kuching, Sarawak.

Dalam siri lawatan itu juga, delegasi POLRI turut berkesempatan mengadakan lawatan ke PULAPOL Kuala Lumpur pada 12 Disember lalu bagi melihat sendiri tentang pengurusan institusi latihan selain bertukar-tukar pandangan mengenai sistem latihan personel PDRM dan POLRI. Delegasi POLRI turut dipersembahkan dengan demonstrasi kawad tangan, kawad senjata dan seni mempertahankan diri oleh para pelatih Kadet Sarjan Siri 1/2023.

Tentatif lawatan kemudiannya diteruskan dengan Program Menembak PDRM bersama POLRI pada 14 Disember lalu di Lapang Sasar Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (PGA), Jabatan KDNKA Bukit Aman, DCP Dato' Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi. Aktiviti tersebut juga diadakan antara lainnya bagi mengasah kemahiran dan teknik penggunaan senjata api selain mengeratkan hubungan bilateral institusi kepolisan dua negara.

Para delegasi POLRI telah berlepas pulang sebentar tadi dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sekitar jam 1.40 petang dengan diiringi para pegawai kanan PDRM.

Hadir sama dalam lawatan tersebut, Pengarah Jabatan KDNKA, CP Dato' Sri Hazani Ghazali, Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (Gerakan) Bukit Aman, CP Dato' Mohd Hishamudin Mohd Tahar, DCP Gerakan Jabatan KDNKA Bukit Aman, DCP Dato' Mohd Yusof Hj. Mamat, Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA (Pasukan Gerakan Khas) Bukit Aman, SAC Anuar Rosdi, Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Antarabangsa) Bukit Aman, SAC Dato' Pahlawan Suparamaniam Ramasamy serta barisan pegawai kanan PDRM.

Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri dan Bahagian D6, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS